= TERKINI=
Perkembangan semasa..

PERJALANAN KEPIMPINAN SAYA SEBAGAI PRESIDEN PERSATUAN SENIMAN MALAYSIA...

Menyingkap kembali perjalanan anak seni bernama Rozaidi Abd Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi ini, banyak transformasi yang telah dilaluinya. Pasti ramai yang masih ingat, karier seni Zed bermula sebaik saja memenangi pertandingan Hero Remaja 2001/2002 anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Bakat Zed kemudiannya mendapat perhatian pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam yang menggandingkannya dengan aktres dari Singapura, Hetty Sarlene dalam drama bersiri popular,Sembilu dan Sembilu Kasih. Tidak dapat dinafikan, drama tersebut yang ditayangkan di TV2 dan TV9 itu telah membantu melonjakkan nama Zed sebagai pelakon lelaki diminati ramai. 

Bagaimanapun, kehadiran Zed dalam industri bukanlah seperti artis lain yang sekadar ‘memeriahkan suasana’. Pemuda berusia 32 tahun ini ternyata memiliki kesedaran tinggi untuk melihat nasib artis dibela dan mendapat perjuangan sewajarnya. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang ditubuhkan sejak 38 tahun lalu dilihat sebagai wadah tepat buat Zed merealisasikan perjuangannya.

Bermula sebagai Ketua Biro Seniman Muda dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Presiden Seniman, Zed membuktikan dia bukan sekadar cakap kosong. Antara kes yang pernah dibawa ke tengah oleh Zed untuk mencapai jalan penyelesaian ialah pertelingkahan antara aktor muda, Ammar dengan wartawan hiburan.

Selain itu, Zed juga pernah mewakili Seniman mengemukakan memorandum kepada kerajaan yang mengandungi usul mengenai peruntukan Rumah 1 Malaysia (PRIMA) dan perkhidmatan insurans perlindungan diri untuk semua ahli Seniman.

April lalu, keupayaan Zed sebagai pemimpin ternyata mendapat kepercayaan ahli lain apabila mereka sebulat suara memilihnya sebagai Presiden dalam pemilihan bagi penggal 2012/2013 menggantikan Harun Salim Bachik.

Menggalas mandat sebagai pemimpin nombor satu dalam persatuan tersebut, langkah Zed semakin lebar untuk memberi sumbangan buat industri.

Aura orang muda

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan mengenai pelantikan Zed tentunya usianya yang masih muda. Menjadi presiden termuda yang pernah dilantik dalam sejarah Seniman, Zed tidak pernah menjadikan faktor umur sebagai halangan untuk mengemudi persatuan itu sebaiknya. Apa yang lebih penting, kata Zed, ialah kepercayaan yang diletakkan di bahunya perlu digalas sebaik mungkin.

“Mungkin umur saya masih muda jika dibandingkan dengan presiden sebelum ini, tetapi perjuangan saya bukan main-main.“Saya tidak pernah terfikir untuk memperjuangkan kepentingan peribadi, sebaliknya semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan ahli dan Seniman secara keseluruhannya,”katanya.Biarpun mungkin ada yang sinikal dengan pelantikannya, pinta Zed, agar kepimpinan muda yang diterajuinya diberi peluang untuk membuktikan keupayaan.

“Sebagai presiden, saya sentiasa terbuka untuk menerima segala kritikan dan pandangan. “Berilah peluang kepada saya dan ahli jawatan kuasa (AJK) yang dilantik untuk kami melaksanakan segala perancangan yang telah diatur,” katanya. Berbeza dengan golongan veteran, generasi muda kebiasaannya memiliki idea yang lebih kreatif dan sentiasa tampil dengan sesuatu yang baru.

Begitu jugalah dengan prinsip Zed yang mahu membawa angin pembaharuan dalam Seniman agar persatuan itu lebih mantap. Malah, Zed sendiri mengakui akan kepentingan artis muda dalam usaha memberi ‘nyawa’ kepada persatuan artis tertua di Malaysia itu.

Maka, tidak hairanlah jika agenda Seniman banyak menumpukan kepada penglibatan artis muda kerana pengaruh besar dimiliki mereka.“Sebelum ini, artis muda kurang berminat menyertai persatuan kerana jarang aktiviti yang melibatkan mereka. “Namun, mulai sekarang kita akan mengadakan lebih banyak aktiviti melibatkan ahli muda sekali gus mengeratkan hubungan dengan ahli veteran,” katanya.

Selesai kemelut artis        

Sudah tiga bulan memegang tampuk pimpinan, Zed tidak menunggu masa lama untuk menjalankan tugasnya sebagai presiden. Bagaimanapun, lumrah bagi seorang pemimpin berdepan dengan cabaran dan kritikan sepanjang pemerintahannya. Di awal pelantikannya, Zed telah diuji dengan kemelut dalaman Seniman yang sedikit sebanyak menguji kredibilitinya untuk mencari penyelesaian terbaik.

Tidak kurang juga, ramai yang memberikan pujian terhadap tindakan pantas Seniman yang menyelesaikan kemelut dua pelakon jelita, Neelofa dan Anzalna. Kedua-dua artis tersebut akhirnya berdamai dalam satu pertemuan diaturkan Seniman yang bertindak sebagai orang tengah.

Sedikit sebanyak, kejayaan Seniman tersebut telah mengangkat kredibiliti Zed sebagai ketua yang sentiasa mengambil berat masalah dalam industri. Melihat perbalahan sesama artis sebagai sesuatu yang serius, Zed berkata, kejadian seumpama itu hanya akan merosakkan industri dalam jangka masa panjang.

Atas sebab itu, Seniman sentiasa membuka ruang kepada golongan artis untuk merujuk kepada persatuan sekiranya berdepan dengan masalah sedemikian.“Penglibatan Seniman sebagai orang tengah dalam konflik melibatkan golongan artis adalah untuk menjaga reputasi mereka.

“Bayangkan, konflik akan terus berpanjangan jika tiada penyelesaian. Maka, kita akan cuba mencari jalan terbaik untuk artis berdamai,” katanya yang berharap agar kemelut tersebut menjadi pengajaran buat artis lain.Malah, Zed dalam hal ini, turut merasakan pentingnya buat golongan artis untuk mempelajari kemahiran komunikasi agar tidak timbul persengketaan sesama mereka mahupun dengan media dan masyarakat.

“Saya percaya, sekiranya mereka bijak berkomunikasi masalah sebegini tidak akan terjadi.
“Berkemungkinan Seniman akan mengadakan kursus komunikasi khas buat golongan artis agar segala yang diperkatakan mereka dapat difahami dengan jelas,” katanya.

Atur pelbagai strategi

Tempoh tiga tahun diberikan kepada Zed untuk menerajui kepimpinan Seniman mungkin dianggap singkat jika dilihat senarai panjang perancangannya.Bukan saja mahu melihat artis bersatu sesama sendiri, malah menjadi impian Zed juga agar Seniman memiliki wajah baru agar relevan dengan peredaran semasa.

“Buat masa ini, kita sudah ada perancangan untuk membentuk Pelan Tindakan Memperkasakan Seniman yang meliputi perubahan pelbagai aspek. “Antaranya ialah perubahan logo dan tagline yang baru, pengemaskinian pangkalan data ahli serta penubuhan biro baru dengan fungsi khusus,” katanya.

Mengakui tiga tahun tidak cukup untuknya merealisasikan segala perancangan, secara jujurnya Zed mengharapkan dia dapat menerajui persatuan sekurang-kurangnya dua penggal. “Segala perancangan ini telah saya fikirkan sejak penggal lalu dan rasanya tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh singkat.“Bagaimanapun, Insya-Allah saya akan berusaha agar semuanya berjalan dengan lancar dengan sokongan padu semua ahli," katanya.
Zed Zaidi Zed Zaidi Author

INI ADALAH PERJUANGAN SERTA SUMBANGAN KECIL SAYA DALAM INDUSTRI KREATIF NEGARA.. ANDA BAGAIMANA?

BUKAN isu baru tatkala pelakon Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi sekali lagi menyuarakan ketidakpuasan hati susulan kehadiran artis luar cari makan dalam produksi tempatan. 

Kalau sebelum ini kemenangan Aaron Aziz di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) dipersoalkan, terbaru apabila pelakon remaja popular Indonesia, Randy Panggalila pula yang dilihat giat beraksi dalam produksi tempatan, ia menjadi bahan luahan hati Zed Zaidi yang kini menerajui pucuk pimpinan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang dinaungi kalangan penggiat seni tanah air.

Pelbagai reaksi diterima daripada masyarakat mengenai isu dibangkitkan ini. Mungkinkah Zed Zaidi sengaja memancing perhatian dengan memperkatakan isu yang dianggap remeh sesetengah pihak ini atau kita yang terlepas pandang mengenai hasrat murninya memartabatkan artis tempatan di bumi sendiri? Ruangan Ping! minggu ini cuba menyelami hati Zed Zaidi, apakah sebenarnya yang diperjuangkan. Kata Zed Zaidi, bukan soal dengki atau cemburu pada kehadiran artis popular asing tetapi persoalan kenapa begitu mudah mereka masuk walhal ada antara mereka tidak mengikut prosedur.

“Memang ada yang tidak faham dan beranggapan kenyataan saya ibarat anjing menyalak bukit. Tapi jujurnya, banyak perkara dan fakta penting yang dipandang sebelah mata pihak-pihak tertentu.

“Pertama, saya bercakap berdasarkan pengalaman menjalani penggambaran di beberapa negara luar seperti Singapura, Indonesia malah Thailand. Prosedur melakukan penggambaran di negara mereka sangat ketat, terutama di Indonesia. “Saya pernah ditahan atas alasan nak menjalani penggambaran. Kalau nak masuk, saya kena melalui persatuan seniman Indonesia dan memenuhi banyak syarat.

“Antara syaratnya, saya perlu berbahasa Indonesia, dapatkan lesen itu ini dan macam-macam lagi, sampaikan perlu bayar beribu ringgit semata-mata nak lepas masuk. Sesudah itu barulah boleh masuk dan jalani penggambaran.

“Saya terfikir, kenapa kita di luar dianaktirikan dengan pelbagai syarat dan prosedur ketat tapi di negara sendiri, artis asing tampak mudah saja,” katanya memulakan bicara.

Sebagai Presiden Seniman, kata Zed Zaidi, dia perlu membela artis tempatan kerana ia akan menjejaskan ETP (Program Transformasi Negara) yang di bawahnya menggariskan 10 jenis industri negara yang perlu anjakan termasuklah industri seni yang turut menyumbang pendapatan kepada negara. “Industri ini juga perlu mencapai pendapatan tinggi untuk ke arah itu tapi kalau ada halangan-halangan daripada orang asing (artis asing), bagaimana kita sebagai artis tempatan dapat menyumbang? “Ketiga, kerana kita akan kehilangan identiti seni negara kita sendiri. Sebagai contoh, pernah ada filem gabungkan tiga negara. Pelakon Brunei berlakon sebagai orang Brunei, pelakon Indonesia juga jadi rakyatnya sendiri tapi bila pelakon Thailand memegang watak orang Malaysia, timbul kekeliruan jati diri negara sendiri.

“Begitu juga halnya apabila lagu orang kita buat tapi orang lain akan kata penciptanya Indonesia sebab bunyinya hampir sama! Hal ini perlu diperbetulkan semula. Kita (seniman) sebagai pembawa yang mempromosi Malaysia, bukan orang asing” katanya serius.

Pertahan identiti negara Zed Zaidi imbas kembali bagaimana 17 tahun lalu iklan yang masuk ke dalam negara ini mesti berdasarkan budaya dan sensitiviti negara kita. Iklan yang sama tapi dilakonkan semula pelakon iklan tempatan, menggunakan bahasa tempatan. Tujuannya untuk mempertahankan identiti negara kita.

Tegas Zed, jika 17 tahun lalu kita boleh pertahankan identiti negara tapi kenapa sekarang tidak lagi? “Masuk saja Malaysia, kita ada undang-undang. Saya perlu terus bersuara supaya badan-badan yang tengah 'tidur' dapat bangun dan lakukan sesuatu. Seperti contoh yang berlaku baru-baru ini, saya tanya ada atau tidak borang PFA (Pekerja Filem Asing) untuk dapatkan permit berlakon sebab mereka (artis asing) kena lalui perkara-perkara ini.

“Mereka juga perlu mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan setiap permohonan perlu sertakan dokumen yang sudah ditetapkan. Dalam garis panduan SPP juga tertera dengan jelas tenaga karyawan yang terbabit dalam penggambaran filem perlu menjadi ahli persatuan yang diiktiraf Finas; dan Seniman antara empat persatuan di bawah Padu Citra yang dimaksudkan.

“Malangnya bila saya periksa dalam senarai, aktor yang disebut tidak ada dalam senarai Seniman. Puspal (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) juga sudah menetapkan prosedur dan syarat yang wajib dipenuhi sebelum bekerja di negara ini,” katanya.

Zed meminta mereka yang mungkin kurang faham dengan prosedur dan syarat-syarat dimaksudkan supaya melayari laman sesawang www.finas.gov.my/perlesenan atau https://epuspal.kpkk. gov.my dan membaca sendiri.

Dalam sinis, Zed percaya dalam jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang, artis asing akan menjadi seperti isu pembantu rumah yang kini membuat macam-macam tuntutan.

“Impak pada artis kita kerana bila terlalu bergantung pada artis asing, nak atau tidak kita terpaksa bergantung juga pada mereka kerana peminat selalu sangat disuap dengan artis asing. Bila ini berlaku, artis kita hilang punca pendapatan dan ada yang terpaksa berhenti kerana merajuk dengan industri.

“Saya bukan halang mereka (artis asing) masuk tapi ikutlah prosedur dan syarat yang ditetapkan. Tapi pada masa sama, produksi tempatan jangan terlalu nak puaskan kepentingan diri semata-mata mahukan keuntungan lebih.

“Kalau artis asing nak masuk, buat macam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertukar-tukar pemain mereka dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), barulah nampak adil, semua dapat beraksi di negara luar.

"Situasi yang berlaku dalam industri hiburan tidak adil bukan saja artis kita malah rakyat Malaysia sendiri. Orang tidak faham apa yang saya perjuangkan. Orang sokong perjuangan saya kerana mereka faham dengan apa yang berlaku, yang tidak sokong pula kerana mereka terdiri daripada peminat artis itu.

“Kita kena ikut sentimen negara dan bangsa, soal agama dan serumpun itu soal kedua. Kalau betul ikut soal serumpun atau seagama, kenapa kita masih payah nak masuk Indonesia? Padahal produk seni kita kualitinya juga hebat. Saya bercakap sebab saya orang industri dan belajar undang-undang. Bukan sekadar cakap ikut sedap mulut,” katanya yang akan terus buat 'bising' dan bersuara untuk perhatian.

Perlu lima penggal Akui Zed Zaidi, usahanya sudah menampakkan sedikit hasil. Sejak beberapa isu dibangkitkan, dia sudah dipanggil beberapa agensi termasuk kementerian malah berpeluang duduk berbincang serta mengutarakan isu yang berlaku.

“Selepas saya bangkitkan isu imigresen, agensi berkaitan dilihat mula memperketatkan soal kemasukan artis asing yang masuk ke Malaysia. Seniman kini dalam proses menubuhkan Malaysia Screen Actors Guild Berhad menjelang akhir tahun ini. Tertubuhnya badan ini, ia tentu sekali dapat menolong pelakon menambah pendapatan daripada penyiar-penyiar tempatan seperti Astro, Media Prima, RTM serta penyiar IPTV. “Selama ini artis tidak mendapat satu sen pun keuntungan walaupun berpuluh-puluh karya mereka diulang siar. Jika penyanyi serta pemuzik mempunyai badan kutipan bagi membela hak mereka, pelakon juga harus mempunyai badan serupa agar nasib mereka pada masa akan datang terus mendapat perhatian.

“Badan itu bukan saja bertindak sebagai ejen kutipan royalti sebaliknya berfungsi untuk menjaga kebajikan artis termasuklah hak-hak berkaitan gaji, kesihatan dan suasana pekerjaan. Ia sama seperti yang dilakukan di luar negara malah penubuhannya juga mengikut prosedur antarabangsa,” katanya.

Zed Zaidi percaya sokongan rakan-rakan artis terhadap perjuangannya dan yakin dengan tagline baru Seniman, Anak Seni Pewaris Budaya, Seniman Rakyat Untuk Negara, dia perlukan sekurang-kurangnya lima penggal sebelum boleh duduk selesa melihat nasib artis tempatan dapat berkarya bebas di tanah sendiri.

“Peringkat awal, orang kutuk macam-macam. Tapi bila sudah nampak sedikit perubahan orang akan terima. Saya buat semua ini untuk rakyat, negara dan seniman. Saya bersuara pun berdasarkan perlembagaan persatuan yang diamanahkan kepada saya.

“Cara orang dulu berbeza dengan sekarang. Saya perlu lakukan ikut cara orang muda tapi dalam keadaan matang. Selain perjuangkan hak artis tempatan, Seniman juga dalam proses mengemas kini data ahli sebagai salah satu rangka transformasi persatuan yang ditubuhkan sejak 1974,” katanya.
Zed Zaidi Zed Zaidi Author

Zed Zaidi

Blog rasmi Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Lt. Kol (K) Zed Zaidi K.M.N. B.Comm (Hons)

Hubungi Saya

Artikel Pilihan

BH Online: Zed Zaidi terima pingat KMN

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zed Zaidi, menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pi...

Jumlah Pelawat