= TERKINI=
Perkembangan semasa..

PERJALANAN KEPIMPINAN SAYA SEBAGAI PRESIDEN PERSATUAN SENIMAN MALAYSIA...

Menyingkap kembali perjalanan anak seni bernama Rozaidi Abd Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi ini, banyak transformasi yang telah dilaluinya. Pasti ramai yang masih ingat, karier seni Zed bermula sebaik saja memenangi pertandingan Hero Remaja 2001/2002 anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Bakat Zed kemudiannya mendapat perhatian pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam yang menggandingkannya dengan aktres dari Singapura, Hetty Sarlene dalam drama bersiri popular,Sembilu dan Sembilu Kasih. Tidak dapat dinafikan, drama tersebut yang ditayangkan di TV2 dan TV9 itu telah membantu melonjakkan nama Zed sebagai pelakon lelaki diminati ramai. 

Bagaimanapun, kehadiran Zed dalam industri bukanlah seperti artis lain yang sekadar ‘memeriahkan suasana’. Pemuda berusia 32 tahun ini ternyata memiliki kesedaran tinggi untuk melihat nasib artis dibela dan mendapat perjuangan sewajarnya. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang ditubuhkan sejak 38 tahun lalu dilihat sebagai wadah tepat buat Zed merealisasikan perjuangannya.

Bermula sebagai Ketua Biro Seniman Muda dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Presiden Seniman, Zed membuktikan dia bukan sekadar cakap kosong. Antara kes yang pernah dibawa ke tengah oleh Zed untuk mencapai jalan penyelesaian ialah pertelingkahan antara aktor muda, Ammar dengan wartawan hiburan.

Selain itu, Zed juga pernah mewakili Seniman mengemukakan memorandum kepada kerajaan yang mengandungi usul mengenai peruntukan Rumah 1 Malaysia (PRIMA) dan perkhidmatan insurans perlindungan diri untuk semua ahli Seniman.

April lalu, keupayaan Zed sebagai pemimpin ternyata mendapat kepercayaan ahli lain apabila mereka sebulat suara memilihnya sebagai Presiden dalam pemilihan bagi penggal 2012/2013 menggantikan Harun Salim Bachik.

Menggalas mandat sebagai pemimpin nombor satu dalam persatuan tersebut, langkah Zed semakin lebar untuk memberi sumbangan buat industri.

Aura orang muda

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan mengenai pelantikan Zed tentunya usianya yang masih muda. Menjadi presiden termuda yang pernah dilantik dalam sejarah Seniman, Zed tidak pernah menjadikan faktor umur sebagai halangan untuk mengemudi persatuan itu sebaiknya. Apa yang lebih penting, kata Zed, ialah kepercayaan yang diletakkan di bahunya perlu digalas sebaik mungkin.

“Mungkin umur saya masih muda jika dibandingkan dengan presiden sebelum ini, tetapi perjuangan saya bukan main-main.“Saya tidak pernah terfikir untuk memperjuangkan kepentingan peribadi, sebaliknya semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan ahli dan Seniman secara keseluruhannya,”katanya.Biarpun mungkin ada yang sinikal dengan pelantikannya, pinta Zed, agar kepimpinan muda yang diterajuinya diberi peluang untuk membuktikan keupayaan.

“Sebagai presiden, saya sentiasa terbuka untuk menerima segala kritikan dan pandangan. “Berilah peluang kepada saya dan ahli jawatan kuasa (AJK) yang dilantik untuk kami melaksanakan segala perancangan yang telah diatur,” katanya. Berbeza dengan golongan veteran, generasi muda kebiasaannya memiliki idea yang lebih kreatif dan sentiasa tampil dengan sesuatu yang baru.

Begitu jugalah dengan prinsip Zed yang mahu membawa angin pembaharuan dalam Seniman agar persatuan itu lebih mantap. Malah, Zed sendiri mengakui akan kepentingan artis muda dalam usaha memberi ‘nyawa’ kepada persatuan artis tertua di Malaysia itu.

Maka, tidak hairanlah jika agenda Seniman banyak menumpukan kepada penglibatan artis muda kerana pengaruh besar dimiliki mereka.“Sebelum ini, artis muda kurang berminat menyertai persatuan kerana jarang aktiviti yang melibatkan mereka. “Namun, mulai sekarang kita akan mengadakan lebih banyak aktiviti melibatkan ahli muda sekali gus mengeratkan hubungan dengan ahli veteran,” katanya.

Selesai kemelut artis        

Sudah tiga bulan memegang tampuk pimpinan, Zed tidak menunggu masa lama untuk menjalankan tugasnya sebagai presiden. Bagaimanapun, lumrah bagi seorang pemimpin berdepan dengan cabaran dan kritikan sepanjang pemerintahannya. Di awal pelantikannya, Zed telah diuji dengan kemelut dalaman Seniman yang sedikit sebanyak menguji kredibilitinya untuk mencari penyelesaian terbaik.

Tidak kurang juga, ramai yang memberikan pujian terhadap tindakan pantas Seniman yang menyelesaikan kemelut dua pelakon jelita, Neelofa dan Anzalna. Kedua-dua artis tersebut akhirnya berdamai dalam satu pertemuan diaturkan Seniman yang bertindak sebagai orang tengah.

Sedikit sebanyak, kejayaan Seniman tersebut telah mengangkat kredibiliti Zed sebagai ketua yang sentiasa mengambil berat masalah dalam industri. Melihat perbalahan sesama artis sebagai sesuatu yang serius, Zed berkata, kejadian seumpama itu hanya akan merosakkan industri dalam jangka masa panjang.

Atas sebab itu, Seniman sentiasa membuka ruang kepada golongan artis untuk merujuk kepada persatuan sekiranya berdepan dengan masalah sedemikian.“Penglibatan Seniman sebagai orang tengah dalam konflik melibatkan golongan artis adalah untuk menjaga reputasi mereka.

“Bayangkan, konflik akan terus berpanjangan jika tiada penyelesaian. Maka, kita akan cuba mencari jalan terbaik untuk artis berdamai,” katanya yang berharap agar kemelut tersebut menjadi pengajaran buat artis lain.Malah, Zed dalam hal ini, turut merasakan pentingnya buat golongan artis untuk mempelajari kemahiran komunikasi agar tidak timbul persengketaan sesama mereka mahupun dengan media dan masyarakat.

“Saya percaya, sekiranya mereka bijak berkomunikasi masalah sebegini tidak akan terjadi.
“Berkemungkinan Seniman akan mengadakan kursus komunikasi khas buat golongan artis agar segala yang diperkatakan mereka dapat difahami dengan jelas,” katanya.

Atur pelbagai strategi

Tempoh tiga tahun diberikan kepada Zed untuk menerajui kepimpinan Seniman mungkin dianggap singkat jika dilihat senarai panjang perancangannya.Bukan saja mahu melihat artis bersatu sesama sendiri, malah menjadi impian Zed juga agar Seniman memiliki wajah baru agar relevan dengan peredaran semasa.

“Buat masa ini, kita sudah ada perancangan untuk membentuk Pelan Tindakan Memperkasakan Seniman yang meliputi perubahan pelbagai aspek. “Antaranya ialah perubahan logo dan tagline yang baru, pengemaskinian pangkalan data ahli serta penubuhan biro baru dengan fungsi khusus,” katanya.

Mengakui tiga tahun tidak cukup untuknya merealisasikan segala perancangan, secara jujurnya Zed mengharapkan dia dapat menerajui persatuan sekurang-kurangnya dua penggal. “Segala perancangan ini telah saya fikirkan sejak penggal lalu dan rasanya tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh singkat.“Bagaimanapun, Insya-Allah saya akan berusaha agar semuanya berjalan dengan lancar dengan sokongan padu semua ahli," katanya.
Zed Zaidi Zed Zaidi Author

About Me!

Blog rasmi Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi K.M.N. B.Comm (Hons)

Hubungi Saya

Artikel Pilihan

BH Online: Zed Zaidi terima pingat KMN

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zed Zaidi, menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pi...

Jumlah Pelawat

Pengikut

Ruang Iklan!