Media Hiburan: Zed Zaidi sahut cabaran Menteri Pertanian
4:59:00 PTG
Pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, kini melangkah ke hadapan dengan mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dengan bidang baru iaitu agro ataupun pertanian.
Zed Zaidi turut berkongsi menerusi laman Instagramnya.
“Persatuan seni ini asyik-asyik bergaduh pening aku, baik aku buat pertanian jadi usahawan agro jual dan berkebun rock mellon, cili, betik, jagung, timun dan baja lagi untung, sebab bila orang susah bukan ada orang tolong kita pun. Sesiapa berminat nak jadi agro muda terutama artis-artis silalah cari aku, terima kasih,” tulisnya.
Dalam pada itu, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, berkata bidang pertanian ini merupakan kerjasama antara abang dan rakan kepada abangnya. Tambahan lagi, Zed juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.
Menurut Zed, idea ini tercetus sejak tahun lalu lagi dan melihat bidang ini sebagai satu cabang yang positif untuk masa depan.
"Sebenarnya sudah lama saya dan rakan kongsi buat bisnes pertanian ini. Antara rakan kongsi yang terlibat ialah abang saya dan rakannya. Abang lebih kepada pengurusan kewangan, manakala rakan abang menguruskan hal ladang kebun dan saya akan berurusan dengan pihak kementerian pertanian dan media.
"Seterusnya saya mahu menarik minat lebih ramai lagi pemuda hari ini untuk turut serta dalam bidang pertanian terutamanya dikalangan artis. Bagi saya platform ini sebagai 'sediakan payung sebelum hujan' dan sebagai sumber pendapatan utama selain berlakon. Dari sudut perniagaan pula sering menjadi permintaan yang tinggi.
"Antara faktor lain ialah saya menyahut cabaran YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek yang mahukan lebih ramai lagi orang berkebun, dan sekarang ini saya seronok melakukannya sebab ada hasil," tambahnya lagi.
Beralih kepada karier lakonannya pula, Zed menjelaskan dia masih berlakon kerana itu minatnya sejak dulu lagi, malah baginya tidak ada masalah untuk membahagikan masa antara berlakon dengan bisnes pertanian.
"Bagi saya tak ada masalah sebab shooting bukan hari-hari, begitu juga dengan berkebun bukannya hari-hari kita akan bercucuk tanam. Cuma pada waktu permulaan ini sahaja akan sibuk untuk menguruskan ladang kebun," katanya.
Selaku Presiden Persatuan Seniman, Zed turut sudi memberikan nasihat kepada bintang baru yang dilihat hari ini asyik bergaduh.
"Sekalipun mahukan publisiti untuk menaikkan nama, bukan begitu caranya. Kerana netizen akan memandangkan kita dengan sudut yang negatif walaupun cerita mereka itu cepat saja mendapat liputan media. Sebaliknya, jika mahukan kontroversi ataupun publisiti gunakanlah dengan cara positif agar tidak dicop pelakon bermasalah.
"Contohnya, selebriti boleh saja dapatkan publisiti seperti berlakon tapi mempunyai akademik yang cemerlang, dengan mendapatkan segulung ijazah seperti kedoktoran. Jadi netizen akan pandang dengan sudut yang positif," ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.